PEMBONGKARAN PETEMPATAN KAMPUNG AIR DI PULAU BORNEO: KAJIAN KES KOTA KINABALU, SABAH

Main Article Content

Amaluddin Bakeri
Mohammad Raduan Mohd Ariff

Abstract

Petempatan kampung air merupakan bentuk petempatan tradisi yang lumrah terdapat di sebahagian besar pinggir pantai, pulau-pulau dan muara-muara sungai Pulau Bor- neo amnya dan negeri Sabah khasnya. Semasa keagungan kerajaan-kerajaan maritim sebelum abad ke-19, petempatan kampung air adalah bekas kota-kota yang menjadi pusat pentadbiran dan perekonomian sesebuah kerajaan maritim tersebut. Petempatan tersebut kemudiannya musnah akibat penjajahan kuasa-kuasa barat dan peranannya berubah daripada sebuah petempatan pusat kepada petempatan terpinggir.
Pada masa kini, kebanyakan petempatan kampung air telah dianggap sebagai kawasan setinggan yang bermasalah. Ia juga dikatakan sebagai kawasan black area yang sering dikaitkan dengan pelbagai kegiatan jenayah antaranya termasuklah penyeludupan, perjudian, dadah dan pelacuran. Petempatan kampung air juga menjadi punca kepada berlakunya masalah pencemaran air sungai atau laut. Ini kerana sampah sarap dan sisa kumbahan penduduk dibuang terus ke sungai atau laut yang kemudiannya menghadirkan bau yang busuk serta pemandangan kurang menyenangkan. Dalam pada itu pembinaan rumah-rumah yang terlalu padat dan sesak telah mendedahkan petempatan kampung air kepada bahaya kebakaran. Keadaan di atas telah menyebabkan tidak semua kewujudan petempatan kampung air diiktiraf oleh kerajaan tempatan. Sebilangan petempatan kampung air dianggap oleh pihak berkuasa sebagai kawasan negatif dan bermasalah.2 Pihak berkuasa mengkategorikan kampung-kampung air tersebut setaraf dengan penempatan setinggan.3 Oleh yang demikian di penempatan tersebut tidak dilakukan sebarang bentuk pembangunan, malah pihak berkuasa telah mengambil pendekatan untuk menghapuskan petempatan kampung-kampung air dengan melaksanakan usaha pembongkaran terhadap petempatan yang terlibat. Bagi membincangkan usaha membongkar petempatan setinggan di kampung air dengan lebih mendalam, artikel ini akan meneliti aktiviti pembongkaran petempatan kampung air di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, Sabah. Bahagian awal artikel ini terlebih dahulu akan menghuraikan latar belakang petempatan kampung air di Sabah dari zaman keagungan kerajaan maritim pada abad ke-18 hingga masa kini. Perbincangan seterusnya akan melihat ciri-ciri fizikal dan keadaan kampung air pada masa kini sehingga membawa kepada pelaksanaan usaha pembongkaran

petempatan tersebut. Seterusnya penelitian akan dibuat secara khusus tentang pelan
tindakan dan pelaksanaan yang dibuat pihak berkuasa tempatan dalam merobohkan
petempatan kampung-kampung air. Di bahagian akhir kertas kerja ini pula
menghuraikan tentang kesan dan masalah yang berlaku setelah usaha membongkar
petempatan kampung air dilakukan.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

Section
Articles