TRANSFORMASI SISTEM ADAT DAN KEHAKIMAN MURUT SEWAKTU PEMERINTAHAN SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH
Transformation of the Murut Customary and Judicial System during the Governance of the British North Borneo Company
DOI:
https://doi.org/10.22452/sejarah.vol33no2.5Keywords:
adat, Murut, G.C. Woolley, Mahkamah Anak Negeri (M.A.N.), perbicaraanAbstract
Sistem adat masyarakat bukan Islam di Sabah yang melibatkan adat Murut serta Dusun telah dikodifikasikan oleh pegawai Syarikat Borneo Utara British (SBUB - selepas ini disebut Syarikat atau kerajaan) sekitar tahun 1907-1908. Kemudiannya apabila menumpukan khusus kepada perkembangan adat Murut pula, ia telah diklasifikasikan kepada beberapa adat utama dalam rekod rasmi kerajaan pada tahun 1917-1918. Perkembangan lanjut memperlihatkan penerbitan buku adat Murut bagi suku Timogun dan Nabai pada tahun 1939. Selanjutnya, sistem adat Murut sememangnya begitu meluas fungsinya sebagai rujukan undang-undang dalam sesi perbicaraan dan penghakiman melibatkan masyarakat Murut, iaitu sama ada di peringkat Mahkamah Ketua Kampung mahupun Mahkamah Anak Negeri (M.A.N.). Kebiasaannya, pemutusan kes perbicaraan bagi masyarakat Murut adalah melibatkan jenis hukuman atau denda berdasarkan adat Murut iaitu sama ada berbentuk ‘sagit’ atau ‘basah’. Secara jelasnya pula, transformasi melibatkan sistem adat Murut daripada bentuknya yang bersifat tradisional kepada bercirikan moden adalah atas inisiatif oleh pegawai Syarikat dengan bantuan pemimpin Murut. Selain itu, peranan dan penglibatan pegawai Syarikat berserta pemimpin Murut dalam pengendalian sesi perbicaraan dan penghakiman yang sistematik dengan berlandaskan adat Murut merupakan antara aspek modenisasi yang amat signifikan impaknya ke atas perkembangan sistem kehakiman Murut. Maka dalam artikel ini, perbincangan awal akan menghuraikan tentang transformasi yang melibatkan sistem adat Murut. Kemudiannya, penelitian akan melihat aspek pemodenan dalam tatacara perbicaraan dan penghakiman Murut.