The Cultivation of the Spirit of Patriotism Through the Process of Political Socialization

Main Article Content

Ku Hasnita Ku Samsu

Abstract

Patriotism is indeed cannot be separated from a country’s existence. However, the
stability of patriotism among its people particularly of the new generation will not
come by itself. Patriotism must be continuously nurtured whether formally or
otherwise among the citizens of a country, specially our country with a plural society.
In other words, such process known as the process of political socialization forms
the catalyst or support in creating patriotism among its people. Therefore, it is
significant to examine the elements underlying the process of political socialization
in order to circulate a sense of understanding of patriotism especially in the
consciousness of the new generation.
Keywords: Patriotism, stability, citizen, socialization, and consciousness
PENGENALAN
Patriotisme sememangnya tidak dapat dipisahkan dari kewujudan sesebuah negara.
Namun kelangsungan semangat patriotisme di kalangan rakyat khasnya generasi
muda tidak akan datang dengan sendirinya. Semangat patriotisme semestinya perlu
terus-menerus dipupuk sama ada secara formal mahupun sebaliknya di kalangan
masyarakat sesebuah negara khasnya Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Dalam
erti kata lain proses tersebut yang dikenali sebagai proses sosialisasi politik
merupakan pemangkin atau tunjang dalam mewujudkan semangat patriotisme di
kalangan warganegara. Oleh yang demikian, adalah signifikan untuk meneliti
elemen-elemen yang mendasari proses sosialisasi politik agar dapat menerbitkan
rasa pemahaman yang menyeluruh berkaitan dengan tahap patriotisme yang ada
pada jiwa generasi muda khasnya.
SEMANGAT PATRIOTISME
Semangat patriotisme merupakan perasaan bangga dan cintakan negara di samping
bersedia untuk berkorban apa sahaja demi kepentingan negara. Malah kesetiaan
kepada negara dan bangsa juga adalah komponen penting dalam patriotisme.1
Dalam hal ini, Primoratz2 menegaskan bahawa pentakrifan patriotisme sebagai
‘cintakan negara’ sahaja adalah terlalu umum dan cetek. Menurut beliau, pekara
yang perlu diberi penekanan dalam menentukan kecintaan seseorang itu kepada
negaranya ialah apakah yang akan dilakukan untuk negaranya dan adakah
132
Jati, Vol. 12, December 2007
individu tersebut sanggup berkorban demi negaranya? Sekiranya ke dua-dua
persoalan ini terjawab dengan positif, maka jelaslah kecintaan hakiki individu
tersebut kepada negaranya. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa patriotisme adalah
satu nilai dan tindakan yang berbentuk emosional iaitu cinta dan setia kepada negara
sehingga sanggup melakukan apa sahaja tindakan demi mempertahankan negara.
Semangat patriotisme telah wujud sejak zaman purba lagi. Namun begitu
semangat tersebut tidak dikenali sebagai patriotisme, tetapi sebagai etnosentrisisme
yang menjurus ke arah pemupukan perasaan cintakan tanah air, menggalakkan
perpaduan rakyat berdasarkan ikatan keturunan dan kebudayaan serta menyemai
semangat menentang pencerobohan kuasa-kuasa asing.3 Oleh itu, jelas bahawa
elemen-elemen yang terdapat dalam etnosentrisisme mempunyai titik persamaan
dengan elemen-elemen yang terdapat dalam patriotisme. Walaubagaimanapun,
semangat patriotisme bukanlah wujud secara semulajadi dalam diri individu, tetapi
semangat tersebut perlu disemai, dipupuk dan diajar.
Dalam hal ini, Primoratz4 telah membahagikan patriotisme kepada dua
bahagian iaitu; value-based patriotism yang merujuk kepada kesetiaan dan kecintaan
seseorang itu terhadap negaranya adalah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu yang
boleh memberi keuntungan dan kepentingan kepada rakyat seperti pencapaian
negara dalam aspek ekonomi dan juga keistimewaan lain yang terdapat di dalam
negara tersebut. Oleh itu, negara yang mempunyai ciri-ciri sedemikian memang
patut untuk ditaati. Manakala egocentric patriotism pula merujuk kepada kecintaan
dan kesetiaan seseorang itu terhadap negaranya semata-mata kerana ‘itu adalah
negaranya’, bukan disebabkan oleh keupayaan negara itu memberikan pencapaianpencapaian
dan keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada dirinya. Justru,
berdasarkan kepada pembahagian ini, dapatlah dinilaikan bahawa cinta yang sejati
kepada negara adalah merujuk kepada egocentric patriotism. Individu-individu yang
tergolong dalam patriotisme jenis ini akan melakukan apa sahaja untuk negaranya
tanpa mengharap dan menagih sebarang ganjaran atau imbuhan kerana berpegang
kepada prinsip ‘itu adalah negara mereka’. Namun, bagi individu-individu yang
tergolong dalam value-based patriotism pula memperlihatkan diri mereka seolah-olah
tidak ikhlas dalam meletakkan kecintaan dan kesetiaan kepada negara kerana apa
yang mereka lakukan adalah berpaksikan kepada kepentingan-kepentingan yang
bakal diperolehi daripada negara.
SOSIALISASI POLITIK
Sosialisasi politik merupakan cara masyarakat menyalurkan budaya politik dari satu
generasi ke generasi lain dengan digerakkan oleh agen-agen masyarakat seperti
keluarga, rakan sebaya, sekolah dan media massa.5 Dengan demikian, seseorang
individu itu akan dapat mempelajari hal yang berkaitan dengan politik melalui agenagen
tersebut. Manakala Easton dan Dennis6 menjelaskan sosialisasi politik sebagai
satu proses pengekalan kepercayaan politik dan orientasi individu atau masyarakat
dalam sistem politik. Ini memantapkan lagi pernyataan Dawson dan Prewitt7 yang
menegaskan bahawa sosialisasi politik adalah cara bagi meneruskan orientasi dan
pegangan politik kepada generasi baru. Pelaksanaan ini dijalankan menerusi
institusi-institusi formal seperti sekolah dan institusi tidak formal seperti keluarga
dan rakan sebaya. Menurut tokoh-tokoh tersebut, keluarga dan rakan sebaya adalah
133
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
agen sosialisasi politik yang penting di peringkat primer. Apabila seseorang itu
semakin meningkat dewasa, agen sosialisasi keluarga didapati semakin lemah dan
digantikan dengan agen-agen sosialisasi yang lain.
Selain itu, Roberts8 menerangkan sosialisasi politik sebagai satu proses
pembelajaran yang mendedahkan mereka kepada orientasi-orientasi kepercayaan,
perasaan dan komponen nilai terhadap kerajaan dan kehidupan berpolitik.
Orientasi tersebut juga melibatkan konsep-konsep autoriti, demokrasi dan
tanggungjawab politik.
Sementara itu, Rush dan Althoff9 dan Rush10 menegaskan bahawa sosialisasi
politik adalah satu proses yang menjadikan seseorang itu mengenali sistem politik
yang kemudiannya menentukan persepsi-persepsi terhadap politik dan reaksireaksinya
terhadap fenomena politik yang berlaku. Hal ini ditentukan oleh faktor
sosial, ekonomi dan persekitaran budaya sesebuah masyarakat, pengalaman
berinteraksi dan personaliti individu. Sarjana-sarjana ini berpendapat bahawa
sosialisasi adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat, melibatkan
golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Proses tersebut beroperasi melalui agenagen
tertentu seperti keluarga, pendidikan, rakan sebaya, kumpulan kerja, kumpulan
agama dan media massa.
Oleh itu, berdasarkan kepada pandangan-pandangan tersebut jelaslah
bahawa sosialisasi politik adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat.
Proses ini digerakkan oleh agen-agen tertentu dalam masyarakat seperti keluarga,
rakan sebaya, pendidikan dan media massa. Malah, berdasarkan kepada pandangan
para sarjana di atas, antara matlamat atau sasaran utama bagi proses sosialisasi
politik adalah memupuk semangat patriotisme sama ada secara langsung atau tidak
langsung di kalangan rakyat bagi sesebuah negara.
Di samping itu, matlamat atau sasaran tersebut juga ditunjukkan secara
khusus melalui pandangan dan hasil kajian para sarjana lain seperti Hyman11 yang
menjelaskan bahawa sosialisasi politik merupakan satu proses untuk menanam
sikap-sikap dan nilai-nilai politik dari peringkat kanak-kanak sehingga peringkat
dewasa dan setelah dewasa pula mereka direkrutkan dengan peranan-peranan
tertentu. Pandangan ini diperkukuhkan lagi oleh Greenstein12 yang menegaskan
bahawa pembelajaran politik secara langsung adalah melibatkan penerapan
informasi politik oleh badan-badan tertentu seperti sekolah yang ditugaskan oleh
pihak autoriti seperti kerajaan. Hal ini sama ada secara langsung atau tidak
langsung akan menyemai semangat patriotisme rakyat. Oleh yang demikian, proses
sosialisasi politik mempunyai perkaitan secara langsung dengan semangat
patriotisme.
Perkara ini dapat dibuktikan melalui kajian Jaros13 yang mendapati bahawa
masyarakat yang terlibat dalam proses sosialisasi politik mempunyai kecenderungan
untuk bersikap patriotik. Ini kerana, dalam proses sosialisasi politik itu sendiri
terdapat elemen-elemen yang merangkumi aspek kenegaraan yang akhirnya akan
menjurus ke arah pencetusan semangat patriotisme rakyat. Di samping itu, Easton
dan Hess14 juga mendapati bahawa pembelajaran hal yang berkaitan dengan politik
berupaya melahirkan semangat patriotisme. Pendapat mereka adalah berdasarkan
kepada kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa
kanak-kanak di negara tersebut telah menunjukkan semangat patriotisme hasil
daripada proses sosialisasi politik sejak mereka berusia seawal tiga tahun.
134
Jati, Vol. 12, December 2007
Sehubungan itu, melalui proses sosialisasi politik seseorang itu boleh
membangunkan kesedaran terhadap politik dan membentuk pemahaman tentang
hal-ehwal masyarakat. Apabila kesedaran politik terbentuk, maka aspek lain yang
berkaitan dengannya pun akan terhasil seperti kemampuan untuk menentukan
persepsi terhadap politik dan memberi reaksi terhadap fenomena-fenomena politik
yang berlaku. Kemampuan tersebut termasuklah memberi pandangan dan tindak
balas terhadap apa yang berlaku dalam negara seperti kepentingan mewujudkan
dan memperkukuhkan semangat cintakan negara atau patriotisme yang merupakan
isu penting bagi menjamin kedaulatan negara.
PERANAN AGEN-AGEN SOSIALISASI POLITIK DALAM
MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME
Semangat patriotisme yang wujud dalam diri manusia turut dipengaruhi oleh proses
sosialisasi politik yang pernah dilalui mereka. Dalam konteks ini, kesedaran politik
yang terhasil daripada proses tersebut akan membawa kepada penyemaian dan
pemupukan kesedaran patriotisme. Situasi ini dapat dibuktikan melalui kajian
Almond dan Verba15 yang menyatakan bahawa kesedaran politik berupaya
mencetuskan semangat patriotisme. Hal ini dapat dilihat apabila golongan sasaran
kajian mereka iaitu rakyat Amerika Syarikat, Britain dan German yang mempunyai
kesedaran politik yang tinggi telah menunjukkan ketaatsetiaan terhadap aspekaspek
output yang merangkumi aspek-aspek berikut, seperti badan eksekutif, birokrasi
dan kehakiman. Kesedaran politik golongan ini diukur berdasarkan kepada
pemahaman mereka terhadap sistem politik negara dan pengakuan bahawa
kehidupan mereka adalah dipengaruhi oleh pihak kerajaan. Manakala golongan
yang mempunyai kesedaran politik yang rendah iaitu 38 peratus daripada rakyat
Itali dan 35 peratus daripada rakyat Mexico menegaskan bahawa tidak ada apa
yang perlu dibanggakan dengan negara mereka seperti aspek kerajaan, institusi
politik, sistem ekonomi dan sebagainya. Malah, terdapat di kalangan mereka yang
menyatakan bahawa tidak tahu apa yang patut dibanggakan dengan negara mereka.
Hal ini menggambarkan rendahnya semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh
rakyat kedua-dua buah negara tersebut. Kesedaran politik yang rendah ini diukur
melalui sikap alienated dan parochial mereka terhadap aspek-aspek input dan output
negara. Alienated merujuk kepada golongan yang mempunyai kesedaran tentang
kepentingan kerajaan dalam kehidupan mereka, tetapi tidak berpuas hati dengan
aspek tersebut. Sikap parochial pula merujuk kepada golongan yang samar-samar
dan tidak mempunyai kesedaran langsung tentang kepentingan kerajaan terhadap
mereka. Manakala aspek input pula merangkumi perkara-perkara seperti parti-parti
politik, kumpulan-kumpulan berkepentingan, dan media massa.
Sehubungan itu, kesedaran politik boleh diperolehi melalui proses
pembelajaran tentang hal yang berkaitan dengan politik secara berterusan sama ada
secara langsung atau sebaliknya. Proses pembelajaran tersebut dikenali sebagai
sosialisasi politik. Malah masyarakat yang terlibat dengan proses sosialisasi politik
mempunyai kecenderungan untuk bersikap patriotik.16 Hal ini mempunyai kaitan
rapat dengan kesedaran politik yang dipupuk melalui agen-agen tertentu dalam
proses sosialisasi politik seperti keluarga, media massa, orientasi pendidikan, rakan
sebaya dan sebagainya.
135
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
IBU BAPA DAN KELUARGA
Tahap kepentingan pengaruh sesebuah agen sosialisasi terhadap masyarakat adalah
berbeza-beza berdasarkan peringkat kehidupan seseorang. Umpamanya, ibu bapa
dan keluarga menjadi agen sosialisasi politik yang paling berpengaruh ketika
seseorang itu masih lagi di peringkat kanak-kanak. Malah, berdasarkan kajian oleh
Easton dan Hess17 di Amerika Syarikat, didapati kanak-kanak pada peringkat awal
persekolahan telah memberi gambaran autoriti yang sama antara bapa mereka
dengan presiden, iaitu sebagai seorang ketua atau penguasa. Namun begitu seiring
dengan peningkatan usia dan semakin luas pendedahan mereka berkaitan politik
melalui proses sosialisasi politik, kanak-kanak tersebut telah dapat membezakan
antara bapa mereka dengan seorang pemerintah. Ketika ini mereka telah menyedari
bahawa presiden merupakan golongan yang terlibat dalam hierarki pemerintahan
yang lebih kompleks berbanding dengan bapa.
Dalam hal ini, Easton dan Dennis18 telah mengemukakan empat tahap dalam
sosialisasi politik diri kanak-kanak. Tahap pertama, kanak-kanak diperkenalkan
dengan autoriti yang terdapat dalam negara melalui individu-individu tertentu
seperti ibubapa, presiden dan polis. Tahap kedua, pengetahuan mereka
diperkembangkan dengan mengenali perbezaan antara autoriti internal dan
eksternal, seperti jabatan swasta dan jabatan awam. Tahap ketiga, kanak-kanak
diperkenalkan dengan institusi-institusi politik impersonal seperti Kongres,
Mahkamah Agung dan pilihan raya. Manakala tahap keempat pula, pengetahuan
mereka dikembangkan dengan mengenali perbezaan antara institusi-institusi politik
dan individu-individu yang terlibat di dalam institusi-institusi tersebut.
Hakikatnya, kanak-kanak banyak mempelajari sesuatu yang baru daripada
ibubapa kerana mereka merupakan autoriti pertama yang muncul dalam kehidupan
kanak-kanak ini. Pernyataan ini disokong oleh Almond dan Verba19 yang
menegaskan bahawa keluarga yang merangkumi ibubapa merupakan autoriti
pertama yang dikenali kanak-kanak. Oleh itu, mustahil bagi kanak-kanak untuk
membesar tanpa dipengaruhi oleh individu yang paling hampir dengan mereka
seperti ibu, bapa dan ahli keluarga. Dalam hal ini, ibubapa bertanggungjawab dalam
memperkenalkan anak-anak kepada pengetahuan awal tentang negara dan
kerajaan. Ketika itu agen-agen lain seperti rakan sebaya dan sekolah belum lagi
wujud dalam kehidupan mereka. Oleh yang demikian, wujud ‘pola keberkesanan
terhad’ yakni lazimnya sesuatu agen sosialisasi mempunyai keberkesanan untuk
tahap tertentu. Selanjutnya, kesedaran politik diambil alih oleh agen-agen sosialisasi
yang lain.
Apabila kanak-kanak telah bersekolah, agen-agen sosialisasi mereka telah
beralih kepada orientasi persekolahan, rakan sebaya dan media. Namun pada tahap
ini, ibubapa dan keluarga masih lagi menjadi agen sosialisasi politik yang signifikan
bagi mereka. Hal ini terbukti dalam kajian Thomas20 yang mendapati peranan media
massa terutamanya televisyen telah menjadi agen sosialisasi politik yang utama di
kalangan para pelajar sekolah menengah di Bandaraya Oklahoma, Jepun. Selain
itu, ahli keluarga termasuk ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam
membina kesedaran politik mereka. Menurut Thomas lagi, para pelajar yang
terdedah kepada perbincangan politik dengan ahli keluarga mempunyai
pengetahuan yang lebih luas tentang perkara tersebut. Hal ini disokong oleh Mo
Kyung Hwan21 yang menyatakan bahawa perbincangan isu politik di rumah
merupakan antara asas tercetusnya kesedaran politik generasi muda.
136
Jati, Vol. 12, December 2007
Walau bagaimanapun, Jennings dan Niemi22 telah mengemukakan dapatan
kajian yang bertentangan, di mana mereka mendapati bahawa keluarga bukanlah
agen sosialisasi politik yang penting berbanding dengan orientasi persekolahan.
Faktor yang diberikan ialah keluarga hanya penyalur maklumat berdasarkan nilainilai
tertentu sahaja yang agak terhad seperti perkara-perkara asas kenegaraan
contohnya tugas polis dan nama negeri. Sedangkan terdapat banyak maklumat lain
yang perlu disalurkan kepada anak-anak tetapi tidak mampu dilakukan oleh
keluarga seperti hal-hal yang berkaitan dengan sistem politik negara dan
perundangan. Kenyataan ini disokong oleh Rush dan Althoff23 yang mengemukakan
bahawa peranan ibu bapa dalam proses sosialisasi politik adalah secara tidak
langsung seperti dalam urusan penyebaran maklumat, nilai-nilai dan sikap-sikap
politik terhadap anak-anak mereka. Berdasarkan kajian-kajian di atas, jelaslah
bahawa faktor jarak masa24 yang menyebabkan keluarga termasuk ibu bapa semakin
diperakui kepentingan mereka dalam membentuk kesedaran politik di kalangan
anak-anak yang masih bersekolah.
Kenyataan bahawa ibu bapa dan keluarga merupakan agen sosialisasi politik
yang penting bagi seseorang individu sebenarnya tidak boleh diaplikasikan di
semua negara. Umpamanya Kuroda25 yang membuat kajian tentang agen-agen
sosialisasi politik di kalangan mahasiswa undang-undang di Jepun mendapati
majoriti responden menyokong Parti Sosialis sedangkan kebanyakan daripada
ibubapa dan keluarga mereka menyokong parti lain atau tidak menyokong langsung
parti-parti politik. Oleh yang demikian, Kuroda membuat kesimpulan bahawa ibu
bapa dan keluarga bukanlah agen sosialisasi politik yang penting pada zaman
Jepun selepas perang. Manakala Eisenstadt26 dan Bar-Yoseph27 juga mendapati
bahawa ibu bapa dan keluarga kurang berperanan dalam proses sosialisasi politik
kanak-kanak di Israel. Fenomena ini akibat kanak-kanak tinggal secara berasingan
dengan keluarga mereka. Mereka tidur, makan dan belajar dalam kumpulankumpulan
tertentu di rumah-rumah yang telah dikhususkan. Kanak-kanak ini
mempunyai masa yang singkat untuk bersama keluarga kerana terikat dengan
kumpulan-kumpulan mereka. Justru itu, agen sosialisasi politik mereka ketika
tersebut bukan lagi ibubapa dan keluarga tetapi lebih memberi penekanan kepada
keseluruhan komuniti.
PENDIDIKAN (PERSEKOLAHAN DAN ORIENTASI KAMPUS)
Tidak dapat dinafikan bahawa aspek pendidikan yang merangkumi orientasi
persekolahan dan orientasi kampus merupakan agen sosialisasi politik yang
terpenting ketika para remaja atau golongan muda sedang menuntut di pusat-pusat
pengajian. Kenyataan ini dibuktikan berdasarkan kajian Easton dan Hess28 yang
mendapati bahawa semakin lama seseorang itu belajar di sekolah atau di pusat
pengajian tinggi, semakin banyak pengetahuan yang diperolehi dan seterusnya
menghasilkan kesedaran politik. Kajian ini seiring dengan kajian Almond dan
Verba29 yang mengemukakan bahawa semakin tinggi tahap pendidikan seseorang
individu itu, semakin tinggi kesedaran mereka tentang hal ehwal politik dan
kenegaraan. Umpamanya, apabila seseorang individu ingin mengetahui tentang
impak dasar kerajaan ke atas mereka, ingin mengikuti arus perkembangan politik,
ingin mempunyai maklumat yang lebih banyak tentang politik, ingin memiliki
137
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
pandangan yang lebih luas tentang hal yang berkaitan dengan politik, ingin
melibatkan diri dalam diskusi politik dengan lebih ramai orang, ingin memiliki
keupayaan yang hebat untuk mempengaruhi hal-ehwal politik, ingin menjadi ahli
dan bergiat aktif dalam organisasi sukarela dan ingin menunjukkan keyakinan serta
kepercayaan dalam persekitaran sosialnya.
Dalam hal ini, kajian Almond dan Verba di lima buah negara iaitu Amerika
Syarikat, England, German, Italy dan Mexico mendedahkan sebanyak 89 peratus
daripada para pelajar di Amerika Syarikat yang mendapat pendidikan di peringkat
sekolah menengah mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi berbanding
dengan hanya 73 peratus daripada para pelajar di tahap sekolah rendah yang
mempunyai kesedaran tersebut. Di England, 76 peratus daripada para pelajar
universiti mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi berbanding dengan hanya
7 peratus daripada para pelajar sekolah rendah. Manakala di German, 83 peratus
daripada pelajar universiti mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi
berbanding hanya 66 peratus daripada para pelajar sekolah. Di Itali pula, pelajar
sekolah menengah didapati seramai 72 peratus mempunyai kesedaran politik
berbanding dengan 85 peratus pelajar universiti. Begitu juga di Mexico yang
mencatatkan 57 peratus daripada pelajar universiti merupakan golongan yang
mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi berbanding hanya 35 peratus
daripada pelajar sekolah menengah. Dapatan kajian Almond dan Verba ini jelas
membuktikan bahawa keterbukaan pemikiran seseorang itu tentang hal ehwal politik
dan kenegaraan amat berkait rapat dengan tahap pendidikan mereka.
Easton dan Hess30 turut menghasilkan dapatan yang sama dengan kajian di
atas melalui kajian mereka di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa individu
berusia tiga tahun telah mempelajari politik di sekolah dan pengetahuan mereka
menjadi mantap apabila berusia tujuh tahun. Tahap awal pembelajaran politik
mencakupi hal ehwal persekitaran mereka seperti ‘keterikatan pada sekolah’ dan
‘pengenalan’ bahawa mereka tinggal di bahagian tertentu dalam sesebuah negara’.
Kemudian diikuti pula dengan pengenalan terhadap simbol-simbol yang dapat
dilihat daripada autoriti-autoriti umum seperti polis, presiden dan bendera negara.
Apabila usia kanak-kanak ini mencecah sembilan hingga sepuluh tahun, mereka
telah didedahkan dengan konsep-konsep lain yang lebih abstrak dan kompleks
seperti hak bersuara, sistem demokrasi, kebebasan sivil dan peranan warganegara
dalam sistem politik. Pembelajaran politik peringkat awal yang sistematik, berpotensi
melahirkan kesedaran patriotisme di kalangan kanak-kanak di Amerika Syarikat.
Senario ini dipaparkan melalui dapatan kajian Easton dan Hess31 yang mendapati
kanak-kanak Amerika Syarikat mempunyai keyakinan dan kepercayaan tentang
‘keindahan negara mereka’ dan ‘kebaikan serta kebersihan rakyat negaranya’.
Kajian-kajian ini membuktikan semakin tinggi tahap pendidikan seseorang itu, maka
sikap mereka juga semakin terbuka dalam memikirkan hal ehwal negara.
Manakala di peringkat universiti atau pusat pengajian tinggi pula, orientasi
kampus telah menjadi salah satu daripada agen sosialisasi penting para pelajar.
Malah ketika ini juga media massa turut memainkan peranan penting sebagai
sumber pengetahuan politik mereka. Umumnya, ketika di kampus para mahasiswa
tidak lagi tinggal bersama dengan ibu bapa dan keluarga tetapi tinggal di asrama
atau rumah sewa. Dengan demikian, ibu bapa dan keluarga sudah tidak lagi
berperanan sebagai agen sosialisasi politik yang penting bagi golongan mahasiswa.
Hasil kajian Azita32 mendapati bahawa hanya terdapat dua agen sosialisasi sahaja
138
Jati, Vol. 12, December 2007
yang paling berpengaruh dalam menentukan kesedaran politik golongan mahasiswa
iaitu orientasi kampus dan media massa. Manakala agen-agen lain iaitu institusi
keluarga dan persekolahan pula didapati semakin kurang berpengaruh. Begitu juga
dengan kajian yang pernah dilakukan oleh Messick33 yang mendedahkan bahawa
pusat pengajian merupakan agen yang lebih berpengaruh dalam membekalkan
pelbagai sumber maklumat tentang politik bagi para pelajarnya berbanding dengan
agen-agen lain. Fenomena ini dicerminkan dengan 64 peratus para responden
mengadakan perbincangan tentang politik di dalam kelas hampir setiap hari. Situasi
ini menggambarkan bahawa mereka begitu komited terhadap hal yang berkaitan
dengan politik dan secara tidak langsung mempamerkan kesedaran mereka
terhadap politik adalah tinggi.
Malah negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Taiwan telah lama
menerapkan pengetahuan politik ke atas pelajar melalui sistem pendidikan di
sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian. Umpamanya di Amerika Syarikat pada
tahun 1790-an, para pelajar telah dibekalkan dengan buku-buku teks sekolah yang
berkaitan dengan politik seperti pendedahan tentang ancaman-ancaman terhadap
kerajaan yang baru dibentuk. Manakala mulai tahun 1915 pula, para pelajar di
sekolah tinggi perlu mengambil kursus-kursus yang menekankan kajian tentang
institusi politik dan latihan kewarganegaraan.34 Di Taiwan pula, regim
pemerintahan yang bersilih ganti berkuasa sejak lebih 100 tahun yang lalu telah
menjadikan pendidikan sebagai alat untuk menyemai kesedaran politik dan
menjayakan proses indoktrinasi politik. Hal ini dapat dilihat ketika pemerintahan
Jepun di Taiwan pada tahun 1895-1945. Mereka telah menjadikan slogan “Becoming
Japanese” sebagai teras dalam sistem pendidikan. Setelah Jepun kehilangan Taiwan
ketika Perang Dunia Kedua, Republik China pula memerintah Taiwan iaitu pada
tahun 1945. Seperti mana penguasaan Jepun, Republik China juga telah melancarkan
kempen pendidikan yang berpaksikan kepada slogan “Becoming Chinese”. Pada
tahun 2000 setelah Taiwan diperintah oleh rakyatnya sendiri, para pendidik
diperlukan untuk membentuk “Taiwanese Conciousness” dan membentuk kurikulum
pendidikan yang memberi penekanan kepada “Becoming Taiwanese”.35 Hal ini
menunjukkan bahawa pentingnya aspek pendidikan sebagai agen sosialisasi untuk
menyalurkan maklumat, pengetahuan politik dan seterusnya memupuk serta
menyemai semangat patriotisme rakyat.
MEDIA MASSA
Media massa merupakan elemen dan mekanisme penting bagi sesebuah masyarakat
tradisional yang ingin berubah menjadi masyarakat moden.36 Hal ini disebabkan
media massa berupaya menyebarkan mesej politik secara konsisten dan standard
kepada sekumpulan manusia dan mampu memainkan peranan penting dalam
transformasi masyarakat. Kenyataan ini disokong oleh Fagen37 yang menyatakan
bahawa media massa lebih mudah tersebar dan berkesan sebagai instrumen
komunikasi dan sosialisasi dalam masyarakat yang lebih moden. Hal ini dapat
dibuktikan melalui kajian Lambert dan Klineberg38 yang mendapati bahawa media
massa terutamanya televisyen dan wayang gambar merupakan sumber paling kerap
digunakan oleh kanak-kanak kelompok negara maju seperti Amerika Syarikat,
Jerman dan Jepun bagi mendapatkan maklumat. Manakala kanak-kanak yang
berasal daripada negara kurang maju seperti di Bantu (Republik Afrika Selatan),
139
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
Brazil, Israel, Lubnan dan Turki pula tidak menyebut langsung televisyen sebagai
sumber maklumat mereka. Sebaliknya, mereka menyatakan bahawa ibu bapa dan
kawan-kawan merupakan sumber utama untuk mendapatkan maklumat.
Sehubungan itu, media massa telah digelar sebagai the new parent kerana
pengaruhnya sebagai sumber yang penting dalam proses pembelajaran politik.39
Sebenarnya peranan televisyen sebagai media yang paling penting dan
berpengaruh dalam proses sosialisasi politik telah dibuktikan melalui dapatan kajian
pengkaji-pengkaji yang lepas.40 Dalam hal ini, Atkin & Gants41 menyatakan bahawa
sebahagian besar kanak-kanak yang menonton berita televisyen juga berminat
terhadap pengetahuan hal ehwal politik. Malah, berita televisyen turut menjadi
penghubung yang pertama antara kanak-kanak dengan dunia politik sehinggalah
mereka mencapai usia remaja. Pada peringkat ini, tingginya pendedahan seseorang
individu itu terhadap program berita televisyen seringkali dikaitkan dengan
tingginya tahap pengetahuan politik mereka. Begitu juga dapatan kajian Renshon42
yang mengemukakan bahawa jenis media yang paling berpengaruh di kalangan
kanak-kanak di Amerika Syarikat adalah televisyen. Manakala media cetak seperti
suratkhabar merupakan media paling berkesan di kalangan golongan remaja.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian Harcourt & Hartland43 adalah
bertentangan daripada dapatan-dapatan kajian yang telah dibincangkan di atas.
Mereka mendapati hanya 6 peratus daripada generasi muda di United Kingdom
menonton program berita televisyen yang berkaitan dengan politik. Manakala bagi
mereka yang membaca surat khabar pula, fokus utama adalah di bahagian hiburan,
rencana dan sukan sahaja. Demikian juga kajian-kajian yang dilakukan oleh para
pengkaji lain44 yang mendapati generasi muda menunjukkan tahap minat yang
rendah terhadap hal ehwal politik yang dipaparkan dalam media massa. Menurut
Bhavnani,45 tahap minat yang rendah terhadap hal ehwal politik yang ditunjukkan
oleh generasi muda itu adalah merupakan tindak balas terhadap powerlessness diri
mereka. Generasi muda merasakan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa dan
pengaruh politik. Oleh itu, mereka tidak perlu mengambil berat dan belajar tentang
perkara yang berkaitan dengan politik kerana tidak mempunyai kuasa atau
keupayaan untuk mempengaruhinya.
RAKAN SEBAYA
Kajian tentang rakan sebaya sebagai antara agen sosialisasi yang utama dalam
proses sosialisasi politik telah banyak dilakukan oleh para sarjana sosiologi politik
terdahulu. Umpamanya Dawson dan Prewitt46 mendapati kumpulan rakan sebaya
merupakan satu faktor asas bagi sesebuah hubungan sosial yang bertindak sebagai
alat pembelajaran sosial dalam semua masyarakat. Walau bagaimanapun,
keberkesanan kumpulan ini sebagai agen sosialisasi adalah berbeza antara satu
budaya dengan budaya yang lain. Dalam hal ini, rakan sebaya sebagai agen
sosialisasi didapati semakin berkembang dan penting dalam masyarakat moden dan
maju.
Malah dapatan kajian Riesman et al.47 mendapati kumpulan rakan sebaya
merupakan agen sosialisasi yang paling penting berbanding agen-agen lain seperti
ibu bapa dan autoriti-autoriti lain. Individu-individu yang tinggal dalam masyarakat
yang berkembang maju didapati semakin ramai merujuk dan berbincang sesuatu
perkara tertentu dengan rakan sebaya berbanding dengan golongan yang lebih tua
140
Jati, Vol. 12, December 2007
daripada mereka dan autoriti-autoriti sosial yang lain. Hal ini menunjukkan peranan
dan kepentingan agen-agen sosialisasi berubah-ubah mengikut perkembangan
sesebuah masyarakat.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, penyemaian semangat patriotisme yang jitu memerlukan
pelaksanaan agen-agen sosialisasi politik secara menyeluruh dan bersepadu.
Namun antara agen-agen sosialisasi politik tersebut, sudah tentu ada yang lebih
dominan. Jenis agen tersebut bergantung kepada tahap umur seseorang dan tahap
kemajuan sesebuah negara. Oleh yang demikian, situasi ini memerlukan keupayaan
pihak berkuasa sebagai pihak peneraju untuk mengesan jenis agen yang paling
efektif dan memanipulasikan kelebihan tersebut agar dapat mencapai matlamat
melahirkan masyarakat yang berjiwa patriotik yang kental.
NOTA HUJUNG
1 Dipetik daripada M. Curti, The roots of American loyalty, (London: Columbia University
Press. Doob, L.W. 1964); Patriotism and Nationalism: Their Psychological Foundations. (London:
Yale University Press dan Berns, W. 1997), On Patriotism. Public Interest, Spring: 19.
2 Sila rujuk I. Primoratz, “Patriotism: A deflationary view,” The Philosophical Forum, Vol.
XXXIII, (2002), 443-457.
3 R, Suntharalingam, Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah, (Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
1985), 10.
4 I. Primoratz, “Patriotism”.
5 K. P, Langton, Political Socialisation, (Oxford: Oxford University Press, 1969).
6 D. Easton & Dennis, J, Children in the Political System: Origins of Political Legitemacy, (New
York: McGraw-Hill, 1969).
7 R. E, Dawson & Prewitt, K, Political Socialization, (Boston: Little, Brown, 1969).
8 G. K, Roberts, A Dictionary of Political Analysis, (London: Longman, 1971).
9 M. Rush dan Althoff, P, An Introduction to Political Sociology, (Melbourne: Thomas Nelson
and Sons LTD, 1971).
10 M. Rush, Politics And Society: An Introduction to Political Sociology, (Hertfordshire: Simon
& Schuster International Group, 1992).
11 H. Hyman, Political Socialization: A Study in the Pcychology of Political Behaviour, (Illinois:
Free Press, 1959), 25.
12 F.I, Greenstein, “Political Socialization,” in The International Encyclopedia of Social Science,
Vol. 14, (New York: Mac Millan dan Free Press, 1968).
13 D. Jaros, Socialization to Politics, (Johannesburg: Thomas Nelson and Sons Ltd, 1973), 23.
14 D, Easton, R.D, Hess, “The Child’s Political World,” Midwest Journal of Political Science.
Vol. 11, (1962).
141
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
15 G.A, Almond dan S, Verba, The Civic Culture, (Boston: Little, Brown & Co, 1965).
16 Untuk penerangan lanjut, sila lihat D, Jaros, Socialization, hlm. 27 dan R, Sigel, “Assumptions
about the learning of political value,” Annals of the American Academy of Social and Political
Science, Vol: 361 (1965), 1-9.
17 D. Easton, R.D, Hess, “The Child’s Political World,” 634.
18 D. Easton, J, Dennis, Children in Political System 122.
19 G.A, Almond dan S, Verba, The Civic Culture, 268.
20 R.M, Thomas, “Applying a Patriotism Textbook-Rating Advice: An Indonesian Example,”
Educational Research Quarterly, vol. 12(1998), 46-52.
21 Kyung-Hwan, Mo, “Citizenship Education for Korean-American Youth,” (Tesis PhD.
University of California, 2000).
22 M. K, Jennings & R. G, Niemi, “The Transmission of Political Values from Parent to Child,”
Dennis, J. (ed.), Socialization to Politics, (Canada: John Wiley & Sons, Inc, 1973).
23 M. Rush dan P, Althoff, An Introduction.
24 Kajian Jennings dan Niemi pada tahun 1973 dan kajian Rush dan Althoff pada tahun
1971 iaitu lebih 30 tahun yang lalu, manakala kajian Thomas dan Mo Kyung Hwan pula
adalah pada zaman sekarang iaitu pada tahun 1998 dan 2000.
25 Yasumasa, Kuroda, “Agencies of political socialization and political change: The political
orientations of Japanese law students,” Human Organization, 24, (1965), 328.
26 S. N, Eisenstadt, From Generation to Generation, (New York: Free Press, 1956).
27 Rivkak, Yoseph-Bar, “The Patern of Early Socialization in the Collective Settlements of
Israel,” Human Relations, Vol. 12, (1959), 60-345.
28 D, Easton, R.D, Hess Children in the Political System.
29 G.A, Almond dan S, Verba, The Civic Culture.
30 D, Easton, R.D, Hess, Children in the Political System, 6.
31 Ibid.
32 Azita Aminudin, “Sosialisasi Politik: Nasionalisme-Patriotisme dan Kesedaran Politik di
Kalangan Mahasiswa di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, (Latihan Ilmiah, Universiti Malaya,
1995).
33 R. G, Messick, “Political Awareness Among Mexican-American High School Students,”
High School Journal, 54 (2), (1970), 108-118.
34 K. P, Langton & M. K, Jennings, “School: Political Socialization and the High School Civics
Curriculum in the United States.” Dennis. J. (ed), Socialization to Politics, (Canada: John Wiley
& Sons, Inc, 1973), 365.
35 Ching Lin, Chao, “Political indoctrination in the curriculum during four periode of
elementary school education in Taiwan,” The Social Studies, Vol 94, Iss. 3, (May/Jun 2003),
134.
36 Lihat R. E, Dawson & K, Prewitt, Political Socialization.
37 R. R, Fagen, Politics Communication, (Boston: Little, Brown & Company, 1966).
38 W. E, Lambert & O, Klineberg, Children’s Views of Foreign People, A Cross-National Study,
(New York: Appleton-Century-Crofts, 1967).
142
Jati, Vol. 12, December 2007
39 Untuk penerangan lanjut, sila lihat N, Hollander, “Adolescents and the War: The Source
of Socialization,” Jurnalism Quarterly, (1971), 48.
40 Sila lihat F.I, Greenstein, “Political Socialization.” R. D, Hess & J. V, Torney, The Development
of Political Attitudes in Children, (Chicago: Aldine (1967), Chaffee et. al, “Mass Communication
and Political Socialization,” Journalism Quaterly, Bil. 47 (1970). Hollander, N. “Adolescents
and War”; J. R, Dominick, “Television and Political Socialization,” Educational Broadcasting
Review, 6 (1972); A. M, Rubin, “Television in Children’s Political Socialization,” Journal of
Broadcasting, Vol. 20 (1976), 51-59; C. K, Atkin & W, Gantz, “Communication News and the
Child Audience,” Journal of Broadcasting, Vol. 22 (1978), 47-61; D, Drew & B, Reeves, “Children
And Television News,” Journalism Quaterly, Vol. 57 (1980), 45-54; dan Conway et. al, “The
News Media in Children’s Political Socialization,” Public Opinion Quaterly, Vol. 45 (1981),
164-178.
41 C. K, Atkin & W, Gantz “Communication News”.
42 S.A, Renshon, (pnytg.), Handbook of Political Socialization: Theory and Research, (New York:
The Free Press, 1977).
43 K, Harcourt & S, Hartland, Discovering Readers, (Tunbridge Wells: Newspaper in Education,
1992).
44 Sila lihat C, Cullingford, Children and Society: Children’s Attitudes to Politics and Power,
(London: Cassell); D, Buckingham, Moving Images: Understanding Children’s Emotional
Responses to Television, (Manchester: Manchaster University Press); dan D, Walker, “Young
people, politics and the media,” dalam H, Roberts & D, Sachdev (ed.), Young People’s Social
Attitudes, (Ilford: Barnardos, 1996).
45 K-K, Bhavnani, Talking Politics: A Psychological Framing for Views from Youth in Britain,
(Cambridge: Cambridge University Press, 1991).
46 R. E, Dawson & K, Prewitt, Political Socialization.
47 Riesman et. al, The Lonely Crowd, (New Haven: Yale University Press, 1950).
RUJUKAN
Almond, G.A. dan Verba, S. The Civic Culture. Boston: Little, Brown & Co. 1965.
Atkin, C. K. & Gantz, W. Communication News And the Child Audience. Journal of
Broadcasting. Vol. 22 (1978), 47-61.
Azita Aminudin. “Sosialisasi Politik: Nasionalisme-Patriotisme dan Kesedaran
Politik di Kalangan Mahasiswa di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.” (Latihan
Ilmiah. Universiti Malaya. 1995).
Bar-Yoseph, Rivkak. “The Patern of Early Socialization in the Collective Settlements
of Israel.” Human Relations. Vol. 12 (1959), 60-345.
Berns, W. “On Patriotism,” Public Interest, Spring: 19 (1997).
Bhavnani, K-K. Talking Politics: A Psychological Framing for Views from Youth in Britain.
Cambridge: Cambridge University Press. 1991.
Buckingham, D. Moving Images: Understanding Children’s Emotional Responses to
Television. Manchester: Manchaster University Press. 1996.
143
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
Chaffee, S.H., Ward, L.S. & Tipton, L.P. “Mass Communication and Political
Socialization.” Journalism Quaterly. Bil. 47 (1970).
Chao-Ching Lin. “Political Indoctrination in the Curriculum during Four Periode of
Elementary School Education in Taiwan.” The Social Studies. Vol 94. Iss. 3
(May/Jun 2003).
Conway, M.M., Wyckoff, M. L., Feldbaum, E. & Ahern, D. “The News Media in
Children’s Political Socialization.” Public Opinion Quaterly. Vol. 45 (1981), 164-
178.
Cullingford, C. Children and Society: Children’s Attitudes to Politics and Power. London:
Cassell. 1992.
Curti, M. The Roots of American Loyalty. London: Columbia University Press. 1946.
Dawson, R. E. & Prewitt, K. Political Socialization. Boston: Little, Brown. 1969.
Dominick, J. R. “Television and Political Socialization.” Educational Broadcasting
Review. 6 (1972).
Doob, L.W. Patriotism and Nationalism: Their Psychological Foundations. London: Yale
University Press. 1964.
Drew, D. & Reeves, B. “Children And Television News.” Journalism Quaterly, Vol. 57,
(1980), 45-54.
Easton, D, Dennis, J. Children in the Political System: Origins of Political Legitimacy.
New York: McGraw-Hill. 1969.
Easton, D, Hess, R.D. “The Child’s Political World.” Midwest Journal of Political Science.
Vol. 11 (1962).
Eisenstadt, S. N. From Generation to Generation. New York: Free Press. 1956.
Fagen, R. R. Politics Communication. Boston: Little, Brown & Company. 1996.
Greenstein, F.I. “Political Socialization,” in The International Encyclopedia of Social
Science. New York: Mac Millan dan Free Press. Vol. 14 (1968).
Harcourt, K. & Hartland, S. Discovering Readers. Tunbridge Wells: Newspaper in
Education. 1992.
Hess, R. D. & Torney, J. V. The Development of Political Attitudes in Children. Chicago:
Aldine. 1967.
Hollander, N. “Adolescents and the War: The Source of Socialization.” Jurnalism
Quarterly, 48 (1971).
Hyman, H. Political Socialization: A Study in the Pcychology of Political Behaviour.
Illinois: Free Press. 1959.
Jaros, D. Socialization to Politics. Johannesburg: Thomas Nelson and Sons Ltd. 1973.
Jennings, M. K. & Niemi, R. G. “The Transmission of Political Values from Parent to
Child.” Dalam Dennis, J. (ed.), Socialization to Politics. Canada: John Wiley &
Sons, Inc. 1973.
144
Jati, Vol. 12, December 2007
Johnson, A. G. The Blackwell Dictionary of Sociology. Oxford: Blackwell Publishers.
2000.
Kuroda, Yasumasa. “Agencies of Political Socialization and Political Change: The
Political Orientations of Japanese Law Students.” Human Organization. 24
(1965). 328.
Lambert, W. E. & Klineberg, O. Children’s Views of Foreign People, A Cross-National
Study. New York: Appleton-Century-Crofts. 1967.
Langton, K. P. & Jennings, M. K. “School: Political Socialization and the High School
Civics Curriculum in the United States.” Dalam Dennis, J. (ed). Socialization to
Politics. Canada: John Wiley & Sons, Inc. 1973.
Langton, K. P. Political Socialisation. Oxford: Oxford University Press. 1969.
Magill, F. N. (ed.). International Encyclopedia of Sociology. Vol 2. London: Salem Press
Inc. 1996.
Messick, R. G. “Political Awareness among Mexican-American High School
students.” High School Journal. 54 (2). (1970). 108-118.
Mo, Kyung-Hwan. Citizenship Education for Korean-American Youth. (Tesis PhD.
University of California. 2000).
Mohd Taib Osman. Globalisasi, Patriotisme dan Isu-Isu Kemasyarakatan. Kuala Lumpur:
Penerbit UM. 2004.
Motyl, A.J. (pngr.). Encyclopedia of Nationalism: Leaders, Movements and Concepts. Vol
2, New York: Academic Press. 2001.
Palmisano, J.M. (pngr.). World of Sociology. New York: The Gale Group. 2001.
Primoratz, I. “Patriotism: A Deflationary View.” The Philosophical Forum. Vol. XXXIII.
(2002), 443-457.
Renshon, S.A. (pnytg.). Handbook of Political Socialization: Theory and Research. New
York: The Free Press. 1977.
Riesman, D., Denney, R., Glazer. The Lonely Crowd. New Haven: Yale University Press.
1950.
Roberts, G. K. A Dictionary of Political Analysis. London: Longman. 1971.
Rubin, A. M. “Television in Children’s Political Socialization.” Journal of Broadcasting.
Vol. 20, (1976), 51-59.
Rush, M. Politics And Society: An Introduction to Political Sociology. Hertfordshire: Simon
& Schuster International Group. 1992.
Rush, M. dan Althoff, P. An Introduction to Political Sociology. Melbourne : Thomas
Nelson and Sons Ltd. 1971.
Sigel, R. “Assumptions about the Learning of Political Value.” Annals of the American
Academy of Social and Political Science. Vol: 361. (1965). 1-9.
145
Ku Hasnita - Pemupukan Semangat Patriotisme
Suntharalingam, R. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar
Bakti. 1985.
Thomas, R.M. “Applying a Patriotism Textbook-Rating Device: An Indonesian
Example.” Educational Research Quaterly. Vol. 12. (1998). 46-52.
Walker, D. “Young People, Politics and the Media.” Dalam Roberts, H. & Sachdev,
D. (ed.), Young People’s Social Attitudes. Ilford: Barnardos. 1996.

Article Details

How to Cite
KU SAMSU, Ku Hasnita. The Cultivation of the Spirit of Patriotism Through the Process of Political Socialization. JATI - JOURNAL OF SOUTHEAST ASIAN STUDIES, [S.l.], v. 12, p. 131-145, dec. 2007. ISSN 2600-8653. Available at: <http://jati.um.edu.my/index.php/jati/article/view/5741>. Date accessed: 21 aug. 2018.
Section
Abstract